You are here:
 
 

AMANAT TAHUN BARU 2018 PENGARAH JPSM

Azmi_Salim
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan syukur kepada Tuhan kerana kita dapat bersama-sama dalam Majlis Amanat Pengarah JPSM sempena dengan tahun taru 2018. Saya rasa masih belum terlambat lagi bagi saya untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2018 kepada semua warga JPSM, semoga pada tahun baru ini, kita akan memperolehi banyak kejayaan lagi terutama sekali kejayaan dalam kita melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam.

 

Saya percaya semua kita telah pun mula mengorak langkah dalam dalam meneruskan program-program dan aktiviti-aktiviti tahun 2018 samada untuk diri sendiri, untuk keluarga atau untuk perkhidmatan kita dalam perkhidmatan awam yang saya anggap perkhidmatan kita di JPSM ini bukan saja sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang berterusan kita perlu pikul dan laksanakan untuk menyara kehidupan kita melalui pembayaran gaji dan elaun, tapi merupakan satu tugas dan peranan yang MURNI kita laksanakan bersama dalam membangunkan modal insan kumpulan sasar yang terdapat di Sabah. Kita harus rasa bersyukur kerana diberi peluang menjalankan tugas-tugas yang murni ini yang tidak akan dilupai dan akan dikenang selama-lamanya oleh mereka yang telah mendapat manfaat daripada penyampaian perkhidmatan yang telah kita beri. Ini memberi persepsi bahawa kita dihargai kerana telah berjaya mengubah nasib dan kehidupan kumpulan sasar kita kearah yang lebih baik lagi.

Tahun 2018 merupakan tahun yang sangat mencabar bagi JPSM dan bagi kita semua untuk berusaha dan berkhidmat dengan lebih tekun dan fokus lagi kerana pelbagai perubahan persekitaran dalam dan luaran sejak tahun lalu dan tahun yang sudah-sudah telah mempengaruhi prestasi jabatan kita. Ada yang telah memberi kesan positif melalui pencapaian beberapa kejayaan dan ada juga memberi kesan yang tidak membanggakan yang perlu kita pelajari dan kita perlu ambil iktibar untuk mempastikan pada tahun 2018 ini dan tahun-tahun akan datang kita tidak lagi mengulangi kelemahan yang sama, sebab pada tahun ini kita hendaklah mempastikan semua objektif kualiti dan KPI kita dilaksanakan mengikut tempoh, mengikut bajet, mengikut peraturan, mengikut spekfikasi dan kualiti yang ditetapkan supaya bakal memberi impak yang positif kepada halatuju kita dalam membangun dan menggunakan sepenuhnya sumber manusia yang terdapat di negeri Sabah melalui perancangan sumber manusia dan program-program latihan yang teratur dan berkesan dengan lebih berkesan lagi. Oleh itu kita perlu merancang dan takwimkan semua program dan aktiviti setiap bahagian dan setiap unit sepanjang tahun 2018 supaya kita semua dapat mengatur/menyelaras penggunaan dan pengisian masa dengan lebih efisen dan transparen lagi agar objektif kualiti kerja kita sepanjang tahun mudah dicapai. Sehubungan dengan itu, saya mohon semua pegawai dan kakitangan yang telah dipertanggungjawab, laksanakanlah tugas-tugas tuan-tuan dan puan-puan dengan baik dan penuh amanah untuk mencapai sasaran kerja dan impak kerja yang ditetapkan dan laksanakanlah penugasan itu dengan gigih supaya mencapai hasil kerja yang cemerlang dan “give and provide your services beyond expectations”.

Warga JPSM sekalian, disamping itu saya juga mahu agar semua staf JPSM sedar bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi tersebut berada di atas bahu setiap anggotanya. Peranan dan tanggungjawab ini perlu dipikul bersama. Kualiti perkhidmatan yang baik bersandarkan kepada sikap dan semangat kerja berpasukan yang akan menentukan bangun jatuh atau maju mundurnya sesebuah organisasi tersebut. Di samping itu, dalam menjalankan tugas seharian, kita harus bekerja sebagai satu pasukan dan menjadikan ini sebagai satu amalan dan budaya di JPSM. Setiap orang memiliki kelebihan dan juga kekurangan. Dengan itu, sebagai satu pasukan kita tidak perlu malu atau segan untuk saling menasihati dan mengingati antara satu sama lain dan juga meminta bantuan atau memberi bantuan bila diperlukan.

Pada majlis ini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk turut menekan beberapa aspek berkaitan disiplin dan imej. Organisasi yang mempunyai warga kerja yang berdisiplin tinggi dapat memastikan segala tugas yang diamanahkan dapat dilaksana dengan teratur dan tidak menyalahi peraturan yang ditetapkan. Warga kerja yang berdisiplin akan sentiasa dapat menjalankan tugas dengan cemerlang kerana disiplin merupakan kunci utama ke arah kecemerlangan dan menjadi asas penting dalam usaha mewujudkan perkhidmatan yang cekap dan bersih. Sebagai penjawat awam, kita haruslah sentiasa membina semangat tinggi untuk mempertingkatkan tahap kualiti perkhidmatan supaya sentiasa cemerlang dan untuk menjaga imej diri dan imej organisasi yang bersih maka ingin juga diingatkan supaya jangan ada dikalangan anggota di JPSM terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan aktiviti-aktiviti yang melanggar peraturan-peraturan perkhidmatan awam. Sebaiknya jagalah nama baik jabatan dan perkhidmatan awam tidak kira di mana anda berada walaupun di luar masa kerja. Tempahlah nama yang baik semasa dalam perkhidmatan, nama baik itu akan disebut selepas kita bersara dan anak cucu kita akan berbangga dengan kita kelak.

Warga JPSM sekalian, negara kita sekarang berada dalam mood pilihanraya umum ke-14 yang mana akan diadakan tidak lewat daripada bulan Ogos tahun ini. Sehubungan dengan itu ingin juga saya ingatkan kepada semua penjawat awam di JPSM ini supaya jangan terlibat dengan kempen-kempen parti politik yang ingin bertanding dalam PRU ke-14 ini. Kita sebagai penjawat awam hendaklah bersikap berkecuali dan patuh kepada kerajaan yang memerintah sekarang.

Setiap kakitangan, setiap Unit dan setiap Bahagian di JPSM haruslah mengwujudkan piagam pelanggan masing-masing dalam memberi perkhidmatan. Walaupun piagam pelanggan telah diwujudkan sebagai pengetahuan dan panduan, namun anda masih boleh memberi perkhidmatan anda melebihi expektasi pelanggan-pelanggan anda samada pelanggan dalaman ataupun pelanggan luaran. Disamping itu, janganlah berkira sangat dalam melaksanakan kerja apatah lagi kerja-kerja yang murni, sebaliknya carilah ilmu untuk meningkatkan kemahiran dan bakat melalui kursus dan latihan, dan bersedialah untuk berkhidmat secara multi tasking (atau serba tahu dan serba boleh). Berkhidmatlah dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran yang lebih dan anggaplah kerja sebagai ibadah dan sedar akan mendapat pahala juga akhirnya.

Selain daripada itu, tugas sebagai penjawat awam adalah merupakan satu amanah dan harus dipikul dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab, dan hendaklah dilaksanakan dengan penuh integriti. Baru-baru ini, pada bulan November 2017 yang lepas kita telah membaca Ikrar Bebas Rasuah maka kita hendaklah menghayati dan sentiasa ingat ikrar yang telah kita lafazkan.

Untuk membolehkan anda menyampaikan perkhidmatan anda dengan lebih peka, baik dan teratur maka suka juga saya ingatkan agar anda semua memahami dan mengetahui terlebih dahulu Visi, Misi, Objektif dan Fungsi serta peranan JPSM agar dapat dikaitkan dengan peranan anda masing-masing dalam menyampaikan perkhidmatan. Kepada yang belum tahu dan untuk perhatian anda, arah tuju pelaksanaan teras perkhidmatan JPSM adalah berpandukan kepada Visi dan Misi JPSM iaitu “Menjadi Jabatan Peneraju Dalam Penyampaian Perkhidmatan Latihan Dan Kemahiran Dalam Negeri Sabah Menjelang Tahun 2030” dan “Menyediakan Pelbagai Program Latihan Kemahiran Berkualiti Yang Bersesuaian Dengan Pasaran Kerja”. Selain itu, JPSM juga berpegang pada slogan jabatan iaitu “Sentiasa Cemerlang”. Manakala peranan dan tanggungjawab utama JPSM adalah untuk “Membangun Dan Menggunakan Sepenuhnya Sumber Manusia Yang Terdapat Di Negeri Sabah Melalui Perancangan Sumber Manusia Dan Program-Program Latihan Yang Teratur Dan Berkesan”. Dalam konteks ini kita juga telah menyediakan Buku Pelan Strategik JPSM yang telah diperbaharui untuk tahun 2018-2020 yang mana boleh dijadikan sebagai panduan bagi kita merancang dan melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab kita bersama. Dengan kata ini, JPSM dipertanggungjawabkan oleh kerajaan negeri Sabah untuk merancang pembangunan modal insan atau rakyat negeri Sabah melalui pelaksanaan pelbagai bentuk latihan khasnya program latihan kemahiran secara bersepadu dan sistematik.

Pada tahun lalu, satu kejayaan yang membanggakan iaitu Sistem Pengurusan Kualiti JPSM dibawah versi baru ISO 9001:2015 telah diberi pengiktirafan oleh badan pengiktirafan antarabangsa Lloyd’s Register Quality Assurance (LRQA). JPSM adalah salah satu agensi kerajaan negeri mahupun persekutuan yang terawal berjaya beralih ke Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan telah dipersijilkan untuk 3 tahun lagi mulai Ogos 2017 hingga 18 Ogos 2020. Ini bermaksud Sistem Pengurusan Kualiti JPSM adalah berkesan dan berjaya membuktikan pematuhan kepada piawaian antarabangsa ISO 9001 dan juga berjaya memenuhi serta melangkaui keperluan dan ekspektasi pelanggan dan pihak berkepentingan yang berkenaan.

Bagaimanapun dan untuk perhatian warga JPSM semua, kejayaan ini perlu dikekalkan, maka oleh itu ianya menuntut semua warga kerja JPSM untuk SENTIASA mengekalkan serta memberi tahap perkhidmatan yang cemerlang selaras dengan slogannya iaitu ‘Sentiasa Cemerlang’. Kita sedar cabaran tahun ini yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu untuk mengekalkan prestasi cemarlang ini adalah sangat tinggi kerana bilangan sumber manusia atau warga kerja JPSM yang semakin berkurangan disebabkan mereka yang bersara atau ditukarkan tidak ada pengganti. Oleh sebab itu, ini menghendaki semua pegawai dan staf JPSM supaya bekerja secara pintar atau ‘work smart’ dan mesti melaksanakan pelbagai tugas atau ‘multi-tasking’ yang perlu diamalkan sebagai satu strategi untuk mengekalkan kecemerlangan dalam sistem Pengurusan Kualiti JPSM.

Sebagai tambahan, sistem pengurusan kualiti berteraskan budaya kerja cemerlang adalah asas penting ke arah mengujudkan perkhidmatan yang produktif dan berkualiti. Kita perlu sentiasa mengamalkan dan menitikberatkan prinsip-prinsip asas kerja yang baik seperti berintegriti, disiplin yang tinggi, ketetapan masa dan fakta, sikap yang teliti dan terperinci dalam melaksanakan tugas masing-masing. Disamping itu kita mesti sentiasa ingat dan mengamalkan falsafah ‘do it right the first time’. Maka dengan ini, mudah-mudahan JPSM mampu menghasilkan modal insan yang cemerlang dan sistem penyampaian yang efektif.

Di aspek yang lain pula, JPSM sentiasa berdepan dengan kehendak pelanggan yang semakin meningkat dan mencabar dan memerlukan kakitangan yang boleh berfikir ‘thinking to up your service’’. Kepuasan pelanggan merupakan sesuatu yang perlu diutamakan oleh setiap organisasi. Dalam hubungan ini, kadangkala kita perlu berfikir di luar kotak pemikiran biasa atau ‘thinking out of the box’ dan kadangkala kita juga perlu berfikir tanpa kotak sejajar dengan perkembangan penggunaan teknologi yang kita gunakan dalam amalan kita untuk memberi perkhidmatan sejajar dengan hasrat bagi mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan/atau mengambil sesuatu peluang dalam memberikan perkhidmatan terbaik kita agar pelanggan kita akan merasa sentiasa gembira berurusan dengan kita, berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan serta menyanjung tinggi sikap responsif dan keprihatinan yang kita amalkan.

Selain menambahbaik suasana penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan luaran secara berterusan berdasarkan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001, saya menyeru agar Bahagian Khidmat Pengurusan JPSM juga turut mengambil perhatian dalam tindakan lanjut terhadap pemantapan keperluan pelanggan dalaman. Untuk itu, Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA)/5S digerakkan dan perlu direalisasikan. Matlamat EKSA atau amalan 5S ini adalah untuk meningkatkan tahap pengurusan dan penyelenggaraan pejabat demi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih berkualiti dan selamat meliputi pejabat JPSM di Wisma Bandaraya, Wisma MUIS dan juga Kampus Utama JPSM. Diharapkan sistem ini akan memudahkan proses kerja jabatan dan turut memberi nilai tambah kepada imej korporat JPSM dengan peningkatan disiplin diri dan juga pemantapan semangat kerja berpasukan setiap warga kerja JPSM.

Saya juga berpendapat, untuk menjadi seorang penjawat awam yang relevan di dalam sesuatu organisasi, selain daripada perlu mengetahui hak masing-masing melalui pembacaan pekeliling dari semasa ke semasa, setiap penjawat awam perlu lebih kreatif dan inovatif dalam menjalankan tugas mereka. Sehubungan dengan itu saya menyeru agar semua warga kerja JPSM supaya bersikap kreatif dan innovatif serta senantiasa proaktif dan mengutamakan output kerja dalam penyampaian perkhidmatan. Dalam konteks ini, staf JPSM perlu mengamalkan budaya pembelajaran sepanjuang hayat iaitu terus menimba ilmu pengetahuan bagi mempelajari kaedah terbaru yang terbaik. Dengan itu, setiap kakitangan JPSM perlu sentiasa kreatif memperlengkapkan diri dengan kemahiran semasa, inovatif dalam mencari peluang bagi mendedahkan diri kepada perkara baru serta agresif dalam mempelajari ilmu dan proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan di JPSM.

Selamat menjalankan tugas dengan cemerlang, semoga sentiasa mencapai kejayaan yang membanggakan pada tahun ini dan pada tahun-tahun akan datang.

Sekian dan terima kasih.

Joomla Templates and Joomla Extensions by JoomlaVision.Com