Lawatan dan Kunjungan Hormat JPSM ke Fakulti Sains Komputer, USM bersama KTECHNO

17 Julai 2025 - Lawatan dan Kunjungan Hormat JPSM ke Fakulti Sains Komputer, USM bersama Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd. (KTECHNO)

Pada 17 Julai 2025 (Khamis), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) telah mengadakan lawatan dan kunjungan hormat ke Fakulti Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM), bersama Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd. (KTECHNO).

Lawatan ini diadakan sebagai susulan kepada pelaksanaan Program Profesional Data Sains yang akan dikendalikan oleh pihak KTECHNO dengan kerjasama USM. Program tersebut dijadualkan berlangsung selama satu (1) bulan, bermula pada 12 Ogos hingga 11 September 2025, dengan sasaran penyertaan seramai 20 orang peserta.

Selain membincangkan pelaksanaan Program Profesional Data Sains, JPSM turut menyatakan hasrat untuk menjalinkan kolaborasi lebih meluas bersama USM melalui pelbagai program profesional yang dirancang akan datang.

Rombongan JPSM diketuai oleh En. Shafaruddin Halide, Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi disertai oleh Puan Kamsiah Ibrahim, Pengarah JPSM, dan Puan Norazalinah Jerai, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, JPSM.

Manakala rombongan daripada pihak KTECHNO diketuai oleh En. Yusni bin Saleh, Pengarah Operasi KTECHNO.

Dalam sesi lawatan tersebut, En. Shafaruddin Halide, mewakili JPSM menyampaikan surat tawaran pelantikan rasmi kepada En. Yusni bin Saleh wakil KTECHNO bagi pelaksanaan Program Profesional Data Sains. Acara penyerahan disaksikan oleh Pn. Kamsiah Ibrahim dan wakil daripada pihak USM.