Latar Belakang, Sejarah dan Objektif Penubuhan JPSM

SEJARAH DAN OBJEKTIF PENUBUHAN JPSM

Berdasarkan laporan Kertas Kabinet Negeri Sabah Bilangan 5 Tahun 1988 bertarikh 10 Februari 1988 dan Surat Pekeliling Jabatan Ketua Menteri Rujukan CC.107/439 Jilid. 2/2 bertarikh 27 Julai 1988. Biro Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) telah ditubuhkan pada 01 Julai 1988, hasil gabungan daripada dua agensi kerajaan negeri iaitu Institut Tadbiran dan Penyelidikan Awam Sabah (SINAR), Jabatan Ketua Menteri dan Unit Perancangan dan Pembangunan Tenaga Rakyat (UPPTR) Kementerian Pembangunan Sumber (1988) dan diletakkan di bawah portfolio Jabatan Ketua Menteri.

Warta kerajaan bertarikh 25 Januari 1996 (No.CMD.C.510/11/2 Pt.II/(106) telah membuat pemberitahuan bahawa BPSM diletakkan di bawah portfolio Menteri Pembangunan Sumber dan Perusahaan berkuat kuasa mulai 17 November 1995.

Setelah BPSM berada di bawah portfolio Kementerian Pembangunan dan Perusahaan, satu cadangan kepada kabinet untuk menukarkan nama BPSM kepada Institut Pembangunan Sumber Manusia (IPSM), namun sebaliknya, Kabinet Negeri telah bersetuju menukar Biro Pembangunan Sumber Manusia kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia atau ringkasnya JPSM berkuat kuasa mulai 01 Jun, 1999 melalui surut Rujukan JKM (R) 100-52/5 Jilid. 17 (97) bertarikh 16 Jun 1999 dan Kertas Kabinet Negeri Sabah No. 15/99, Perkara 3.6.4 yang diluluskan pada 9.6.1999.

Termaktub dalam surat pekeliling Jabatan Ketua Menteri: Rujukan CC.107/439 Jld.2/2 bertarikh 27 Julai 1988, Objektif penubuhan JPSM adalah “Untuk membangun dan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber manusia yang terdapat di Sabah melalui perancangan tenaga manusia dan program-program latihan yang teratur dan berkesan”.

Pada ketika ini, JPSM mempunyai empat buah kampus iaitu:• Ibu Pejabat dan Kampus Utama di Tingkat 7 dan 8, Blok A, Wisma MUIS, Kota Kinabalu; • Kampus Latihan Dalam Perkhidmatan (ITC), Jalan Maktab Sabah, Kota Kinabalu; • Kampus Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jalan Pantai Manis Papar, dan, • Kampus JPSM Pedalaman, Keningau.Selain kampus tetapnya, JPSM juga mempunyai cawangan pejabat-pejabat pentadbiran di tujuh (7) buah daerah iaitu di Majlis Perbandaran Tawau, Majlis Perbandaran Sandakan, Pejabat Daerah Kuala Penyu, Pejabat Daerah Beaufort, Pejabat Daerah Ranau, Pejabat Daerah Keningau dan Pejabat Daerah Kota Belud.

Berikutan dengan penukaran nama tersebut, fungsi-fungsi BPSM telah diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) mulai dari 01 Jun 1999. Oleh itu semua perkara-perkara yang dahulunya dikendalikan oleh BPSM boleh dirujuk terus kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, seperti kenyataan surat pekelilingan jabatan bertarikh 31 Julai 1999 dengan rujukan JPSM100-4/7(4).

Apabila Institut Sektor Awam negeri Sabah (INSAN) dibentuk pada 1 Jun 2002, impaknya kepada JPSM amat ketara sekali, di mana kampus JPSM di Pedalaman Keningau, Kampus Latihan dalam Perkhidmatan (ITC) Jalan Maktab Sabah Kota Kinabalu, dan Kampus Utama JPSM di Tingkat 8 Wisma MUIS telah diambil alih dan diletakkan di bawah pengurusan pentadbiran INSAN. Setelah itu, satu-satunya kampus JPSM yang tinggal ialah Institut Latihan Teknik dan Perdagangan di Jalan Pantai Manis Papar, terletak di Bahagian Pantai Barat Negeri Sabah.

Kewujudan JPSM ke tahap hari ini adalah hasil daripada pengorbanan daripada barisan kepimpinan terdahulu, khususnya ketika era kepemimpinan BPSM.

Walaupun sebahagian besar aktivitinya, terutama memberi latihan kepada anggota perkhidmatan awam negeri Sabah telah diambil oleh INSAN pada 1 Jun 2002 tetapi JPSM terus diberi peranan penting dalam membangunkan belia Sabah melalui program-program latihan yang berkualiti dan berorentasikan kemahiran.