18 Januari 2025 - Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu
Majlis Perasmian Hari Kerjaya (Career Day) Industri Minyak & Gas
Dipetik daripada laman - https://sabah.kupikupifm.my/hari-kerjaya-minyak-dan-gas…/
Lebih 700 jawatan kosong dalam industri minyak dan gas ditawarkan sempena Hari Kerjaya Minyak dan Gas Edisi Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Program anjuran PETRONAS dengan kerjasama kerajaan negeri dan PERKESO itu mengumpulkan 26 pameran daripada syarikat dalam bidang minyak dan gas, selain agensi lain yang berkaitan.
Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong, berkata selain PETRONAS, syarikat minyak dan gas lain yang memgambil bahagian antaranya Shell, ConocoPhillips, Hibiscus Petroleum dan PTTEP.
“Lebih menarik, peluang pekerjaan yang ditawarkan bukan saja bertempat di negeri Sabah tetapi juga di seluruh negara.
“Selain itu, kami turut bekerjasama dengan pihak institusi pendidikan dalam memberi pendedahan serta menawarkan bantuan kepada pelajar yang berminat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Program itu dirasmikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif.
Sasaran program itu adalah pencari kerja sedia ada dan graduan yang baru menamatkan pengajian.
Bacho berkata tujuan utama penganjuran Hari Kerjaya Minyak dan Gas adalah menghubungkan graduan baharu dengan syarikat yang mencari bakat baharu sekali gus ia menawarkan peluang berharga kepada anak Sabah memulakan kerjaya dalam bidang minyak dan gas.
Katanya, ia dilaksanakan menerusi kerjasama kolektif dengan rakan strategik PETRONAS, khususnya dari kerajaan negeri melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah dan syarikat minyak dan gas.
Dalam pada itu, Ruslan berkata kerajaan Sabah berbesar hati dengan inisiatif yang dilaksanakan PETRONAS dan kerjasama erat bersama kerajaan negeri melalui JPSM yang akan menyediakan satu platform pencarian kerja untuk anak Sabah menceburi industri minyak dan gas.
Katanya platform dikenali sebagai Sistem POMIGAS yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025 itu dikawal selia oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Ketua Menteri Sabah menggunakan ekosistem pencari kerja Sabah Job Portal.

