Salam Sejahtera. Selamat datang diucapkan kepada para pengunjung portal rasmi Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM). Pertamanya, saya ingin memetik kata-kata YB. Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang antara lain menyatakan keperluan untuk "…melakukan transformasi perkhidmatan awam negeri yang berimpak tinggi melalui inisiatif Digitalisasi ke era Smart Digital Government. Konsep kerajaan digital hendaklah berlandaskan kepada 5A - Accessible by Anyone at Anytime, Anywhere, by Any Mobile Device… " Selaras dengan itu, JPSM telah menyahut cabaran tersebut dengan membangunkan semula portal rasmi jabatan yang dikenali sebagai JPSM Online. Melalui portal ini, informasi berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan akan dapat disebarkan dan diakses dengan mudah, cepat dan tepat. Seiringan dengan itu, data mutakhir berkenaan prestasi semasa perkhidmatan teras jabatan atau 'real time data' boleh diperolehi oleh pihak berkepentingan atau stakeholder pada bila-bila masa selaras dengan Konsep 5A yang ditekankan kerajaan. Dengan adanya portal ini, penyaluran maklumat kepada masyarakat berkaitan peluang mengikuti pelbagai jenis latihan asas dan pemantapan kemahiran yang tawarkan JPSM melalui Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) dan Bahagian Tajaan dan Latihan Kemahiran (BTLK) akan dapat diurus dengan lebih cekap dan berkesan. Pembangunan portal ini juga akan menambahbaik tadbir urus perkhidmatan teras jabatan khasnya dari segi promosi, perolehan, pemantauan dan pengesanan kepada output perkhidmatan latihan yang dilaksanakan JPSM serta memantapkan pelbagai aplikasi dalaman JPSM. Akhir kata, semoga portal ini mampu memberi maklumat yang informatif kepada para belia dan beliawanis Sabah, pencari kerja, majikan dan pihak industri dalam pencarian maklumat berkaitan latihan kemahiran dan peluang kerjaya yang diperlukan serta pihak berkepentingan yang terlibat dalam pembangunan sumber manusia Negeri Sabah. Saya juga sentiasa mengalu-alukan pandangan dan saranan membina dari semua pihak bagi memantapkan dan menambahbaik lagi kualiti pengurusan maklumat dan pelbagai perkhidmatan yang disediakan JPSM. Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia |