Majlis Pelancaran Sabah TVET Fest 2026 dan Menandatangani Nota Kerjasama JPSM - SPRM tahun 2026 hingga 2030

Majlis Pelancaran Sabah TVET Fest 2026 dan Menandatangani Nota Kerjasama JPSM - SPRM tahun 2026 hingga 2030

KOTA KINABALU — Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah terus memperkukuh komitmen bersama dalam membudayakan integriti apabila melengkapkan pemeteraian Nota Kerjasama (NoA) baharu bagi tempoh lima tahun sehingga 2030.

Majlis menandatangani NoA yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 31 Julai 2026 itu disempurnakan oleh Pengarah JPSM Sabah, Dr. Kamsiah Ibrahim, bersama Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

Pemeteraian tersebut turut disaksikan oleh barisan kepimpinan tertinggi termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mohd Hanafiah Bin Datuk Mohd Kassim; serta Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah, Datuk Hassan Mahali.

Kolaborasi strategik ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif terdahulu yang dimeterai pada 29 Mac 2022. Menerusi kerjasama itu, Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) di bawah JPSM Sabah telah melakar sejarah sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama di Malaysia yang mengangkat Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) sebagai subjek elektif wajib dalam kurikulum pengajarannya.

Berbeza dengan fasa terdahulu, skop NoA baharu ini diperluaskan secara menyeluruh. Ia bukan sahaja merangkumi pengukuhan pelaksanaan Modul KIAR di ILTP, malah diperluas kepada seluruh warga agensi bagi memperkasa tatakelola pentadbiran, integriti, serta usaha pencegahan rasuah yang lebih berkesan.

Pemeteraian dan pertukaran dokumen NoA tersebut diadakan bersempena dengan perasmian Program Sabah TVET Fest 2026 yang mengangkat tema “TVET di Era Dominasi AI”. Program berkenaan dirasmikan oleh Pembantu Menteri KPSTI Sabah, Jordan Jude Ellron, serta dihadiri oleh pelbagai warga institusi TVET tempatan.

Majlis perasmian itu turut diserikan lagi dengan pelancaran tiga portal digital strategik oleh JPSM iaitu portal digital MyILTP, Sabah Jobs Portal, dan Sistem Latihan Kemahiran Bersepadu (SiLK) bagi memperkasakan ekosistem digital dan perkhidmatan latihan kemahiran negeri.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Sabah, Datuk Syamsul Osman; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, PKPj Alexander S. Kunghi; serta Ketua Cawangan Sekretariat Hal Ehwal Parlimen dan Perhubungan Strategik SPRM, PPj Hong Chin Chin, bersama barisan pegawai kanan daripada JPSM dan SPRM.